Miliknya Kembali – 1

Hatinya sakit. Hatinya pedih. Hatinya panas membara. Angin semilir pagi yang berhembus tatkala dia melakukan rutin hariannya menjemur ikan di tepi pantai pun tidak mampu untuk memadamkan bara dihatinya. Mungkin kalau ribut sekalipun yang melanda tidak juga mampu untuk menyejukkan hatinya. Berbekas benar rasa dihati, sakitnya masih terasa hingga kini walaupun peristiwa itu telah berlaku lebih dua minggu lepas. Ya, memang aku perempuan kampung yang tidak berpelajaran tinggi, tapi sekurang-kurangnya aku tidak kurang ajar dan aku masih punya adab sopan sebagai seorang manusia, tidak seperti engkau yang tidak ubah seperti haiwan yang tidak dididik dengan tatasusila dan perilaku seperti orang yang punya hati dan perasaan. Kalau sahaja dia jumpa lagi lelaki itu disini, pasti dia akan ajar lelaki itu cukup-cukup. Biar lelaki itu tahu menghormati orang, tahu menjaga adab sopan dan yang paling utama dia mahu ajar lelaki itu supaya tahu untuk tidak menyinggung perasaan orang secara terang-terangan.

“Kau ni kenapa lagi Ika? Tak habis-habis lagi ke kau marah fasal tu?”

Lamunannya terhenti apabila mendengar teguran dari Pak Tam nya, satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia ini. Ika berpaling. Kelihatan Pak Tam sedang membawa sebakul lagi ikan untuk dikeringkan.

“Ini ikan dari semalam yang tak sempat nak dikeringkan”, ujar Pak Tam sambil menghulurkan bakul itu kepada Ika.

Semalam hujan turun dengan lebatnya. Angin pun bertiup dengan kencang. Para nelayan semua tidak turun ke laut kerana ombak yang tinggi. Begitulah kehidupan sebagai nelayan, mencari rezeki bergantung kepada keadaan cuaca. Kadang-kadang, kalau laut tenang, hasilnya pula tidak seberapa. Tapi mereka masih bersyukur di atas segala nikmat yand diberikan-Nya.

“Ika bukan apa Pak Tam. Malu Ika dibuatnya. Tak jadi kat Pak Tam, boleh lah Pak Tam cakap macam tu. Cuba jadi dekat Pak Tam, mesti Pak Tam pun rasa apa yang Ika rasa sekarang”.

“Kau yang degil. Aku dah larang kau pergi sana, kau pergi juga. Hah, sekarang benda dah jadi macam ni, baru lah kau nak marah-marah, nak muncungkan mulut kau tu. Kalau cukup sebulan kau muncungkan mulut kau tu, sah lepas ni kau boleh berkawan dengan itik-itik kat belakang rumah kita tu”.

Ika tergelak mendengar gurauan Pak Tamnya. Pak Tam pun kelihatan senang melihat senyuman mula terbit di muka Ika. Itulah Pak Tam, ada saja caranya untuk menghiburkan hati Ika. Pak Tam lah yang selalu berada di sisi Ika. Tidak kira waktu senang atau susah, waktu menangis atau gembira. Ika bersyukur, walaupun dia telah telah menjadi yatim piatu, dia masih punya tempat untuk menumpang kasih.

Selesai menjemur semua ikan-ikan di dalam bakul yang terakhir, Ika bingkas bangun dari duduknya. Terasa letih juga kerana hampir setengah jam juga dia menyudahkan kerja-kerjanya. Pak Tam pula telah lama beredar dari tempat penjemuran. Mungkin Pak Tam nak baiki jala ikannya yang sedikit rosak akibat tersangkut di pokok kelapa ketika angin bertiup kencang semalam, fikir Ika. Ika memandang jauh ke laut. Terasa sedikit tenang hatinya melihat keindahan pantai yang memutih dan alunan ombak yang sekali sekala menghempas garang tepian pantai. Mengapa ada orang yang sanggup untuk memusnahkan keindahan ini? Ika tiba-tiba teringat akan lelaki itu. Hatinya kembali sakit. Mengapa lah manusia seperti lelaki itu wujud dalam dunia ini?

Lamunan Ika tiba-tiba terganggu apabila pandangan matanya tertangkap satu objek asing di tepi pantai. Hatinya tiba-tiba berdebar. Dia mula mengatur langkah untuk menuju kearah objek itu. Debaran hatinya semakin kuat apabila dia semakin menghampiri objek itu. Ika tergamam, kali ini hatinya tidak lagi berdebar kuat tapi hampir sahaja berhenti apabila objek yang mula disangkanya batang kayu yang terhanyut rupa-rupanya tubuh manusia. Seorang lelaki yang masih lengkap berpakaian. Ada kesan luka di kepala lelaki itu. Ika membongkokkan badannya, cuba-cuba melihat kalau ada tanda-tanda lelaki itu masih bernafas. Dia lega tatakala melihat ada ombakan kecil di dada lelaki itu menandakan dia masih lagi bernafas. Ika memberanikan diri untuk melihat lebih dekat lelaki malang itu. Tiba-tiba wajah Ika berubah. Perasaaan simpati yang mula-mula bersarang dihatinya mula pudar tatkala melihat wajah lelaki itu. Lelaki ini lah yang mengakibatkan dia marah selama dua minggu berturut-turut! Lelaki yang kurang ajar yang tidak tahu adab sopan yang pernah menghinanya dua minggu lepas. Kejadian itu mula berputar kembali di kotak fikiran Ika dan dia masih ingat dengan jelas bait-bait kata nista yang keluar dari mulut lancang lelaki itu.

Bersambung…

Published in: on Mac 19, 2008 at 10:27 am  Comments (6)  

Miliknya Kembali

Kerana satu tragedi, dia kehilangan segala-galanya…

Kerana dendam, dia menjadi bukan dirinya…

dan kerana cinta, segala miliknya kembali…

Namun, akankah hilang segala yang baru dimiliki?

 

~AKAN DATANG~

Published in: on Mac 13, 2008 at 10:02 am  Comments (7)